Rakyat Azerbaijan marah kerajaan halang melaungkan azan di masjid!
Muslim Azerbaijan diselubungi rasa marah berikutan peraturan baru kerajaan mereka yang melarang azan dikumandangkan menggunakan pembesar suara dengan alasan ia mengganggu ketenteraman awam. Penduduk Muslim di sana menganggap perkara ini adalah pencabulan kepada kebebasan beragama dan seakan-akan mengembalikan mereka ke zaman pemberontakan komunis.
Pihak Kerajaan pula dalam jawapan mereka berhubung perkara ini menyatakan, penguatkuasaan peraturan tersebut pada akhir bulan lepas adalah disebabkan mereka mendapat banyak aduan daripada orang awam yang terdiri daripada golongan sakit, tua dan kanak-kanak yang terganggu dan tidak selesa dengan suara azan yang kuat.
Alegar Ibrahim Oglo, ketua Pusat Perlidungan Kebebasan Beragama bukan kerajaan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindakan yang tidak boleh diterima akal.
“Saya tidak tahu jika ada tempat lain di dunia yang turut melaksanakan peraturan seperti ini, hatta di negara-negara Eropah atau di Amerika Syarikat sekalipun. Tindakan ini seakan mengembalikan kami ke era pertembungan Atheist dan agama.” Katanya lagi.
Azerbaijan yang merupakan salah satu dari negara Soviet satu ketika dulu kini menjadi kediaman 8 Milion penduduk dengan 93.4 peratus daripadanya adalah Muslim. 70 peratus daripada jumlah tersebut adalah pendokong fahaman Shiah dan bakinya adalah Ahli Sunnah.
Negara yang kaya ini menyaksikan gelombang kabangkitan Islam setelah ia mencapai kemerdekaan pada 1991 sejurus kejatuhan empayar Soviet. Ia kemudiannya menyertai Pertubuhan Negara-negara Islam OIC pada akhir 90-an. Sepanjang pemerintahan Soviet sebelum daripada itu, masjid-masjid di Azerbaijan ditutup, orang Islam bahkan tidak dibenarkan sembahyang di kawasan-kawasan awam dan tidak dibenarkan ke luar negara untuk menunaikan ibadah Haji.
Dari Akhbar Liwa Islami bil 1325; 28 Jamadil ula 1428 h bersamaan 14 Jun 2007 m